Pages

Sunday 29 September 2013

Ibnu Rusyd




Ibnu Rusyd atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad lahir di Kardova pada tahun 1126. Beliau ahli falsafah yang paling agung pernah dilahirkan dalam sejarah Islam. Pengaruhnya bukan sahaja berkembang luas didunia Islam, tetapi juga di kalangan masyarakat di Eropah. Di Barat, beliau dikenal sebagai Averroes.

Keturunannya terdiri daripada golongan yang berilmu dan ternama. Bapanya dan datuknya merupakan kadi di Kardova. Oleh itu, beliau telah dihantar untuk berguru dengan Ibnu Zuhr yang kemudiannya menjadi rakan karibnya.

Ibnu Rusyd mempelajari ilmu fiqh dan perubatan daripada rakannya yang juga merupakan tokoh perubatan yang terkenal di Sepanyol, Ibnu Zuhr yang pernah bertugas di sebagai doktor istana di Andalusia.

Sebelum meninggal dunia, beliau telah menghasilkan bukunya yang terkenal Al Taysir. Buku itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris dengan judul Faclititation of Treatment.

Selain menjalin perhubungan yang akrab dengan Ibnu Zuhr, Ibnu Rusyd juga mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Islam Muwahidin. Hubungan ini telah membolehkan Ibnu Rusy dilantik sebagai hakim di Sevilla pada tahun 1169. Dua tahun kemudian, beliau dilantik menjadi hakim di Kardova.

Selepas beberapa waktu menjadi hakim, beliau dilantik sebagai doktor istana pada tahun 1182 berikutan persaraan Ibn Tufail. Ramai yang berasa cemburu dan dengki dengan kedudukan Ibnu Rusyd. Kerana desakan dan tekanan pihak tertentu yang menganggapnya sebagai mulhid, beliau dibuang ke daerah Alaisano.

Setelah selesai menjalani tempoh pembuangannya, beliau pulang semula Kardova. Kehadirannya di Kardova bukan sahaja tidak diterima, tetapi beliau telah disisihkan oleh orang ramai serta menerima pelbagai penghinaan daripada masyarakatnya.

Pada lewat penghujung usianya, kedudukan Ibnu Rusyd dipulihkan semula apabila Khalifah Al-Mansor Al-Muwahhidi menyedari kesilapan yang dilakukannya. Namun, segala kurniaan dan penghormatan yang diberikan kepadanya tidak sempat dikecapi kerana beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1198.

Sunday 22 September 2013

Selamat Hari Malaysia

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Sunday 8 September 2013

Ibnu Sina


Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan 980 Masihi di Afsyanah, Bukhara, Turkistan. Nama sebenarnya ialah Al-Husain bin Abdullah bin Al-Hasan bin Ali bin Sina. Beliau mula mempelajari al-Quran semenjak berumur 5 tahun. Beliau menghafaz al-Quran ketika berusia 10 tahun. Ibnu Sina mula belajar sendiri setelah berusia enam belas tahun. Beliau sangat menyenangi ilmu kedoktoran dan metafizik. Dalam sekitar satu hingga lima tahun, beliau telah dikenal sebagai ahli falsafah dan doktor di Bukhara. Ibnu Sina mula menjadi doktor ketika berusia 18 tahun.