Ibnu Rusyd atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad lahir
di Kardova pada tahun 1126. Beliau ahli falsafah yang paling agung pernah
dilahirkan dalam sejarah Islam. Pengaruhnya bukan sahaja berkembang luas
didunia Islam, tetapi juga di kalangan masyarakat di Eropah. Di Barat, beliau
dikenal sebagai Averroes.
Keturunannya terdiri daripada golongan yang berilmu dan ternama.
Bapanya dan datuknya merupakan kadi di Kardova. Oleh itu, beliau telah dihantar
untuk berguru dengan Ibnu Zuhr yang kemudiannya menjadi rakan karibnya.
Ibnu Rusyd mempelajari ilmu fiqh dan perubatan daripada rakannya
yang juga merupakan tokoh perubatan yang terkenal di Sepanyol, Ibnu Zuhr yang
pernah bertugas di sebagai doktor istana di Andalusia.
Sebelum meninggal dunia, beliau telah menghasilkan bukunya yang
terkenal Al Taysir. Buku itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan
bahasa Inggeris dengan judul Faclititation of Treatment.
Selain menjalin perhubungan yang akrab dengan Ibnu Zuhr, Ibnu Rusyd
juga mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Islam Muwahidin. Hubungan ini
telah membolehkan Ibnu Rusy dilantik sebagai hakim di Sevilla pada tahun 1169.
Dua tahun kemudian, beliau dilantik menjadi hakim di Kardova.
Selepas beberapa waktu menjadi hakim, beliau dilantik sebagai
doktor istana pada tahun 1182 berikutan persaraan Ibn Tufail. Ramai yang berasa
cemburu dan dengki dengan kedudukan Ibnu Rusyd. Kerana desakan dan tekanan
pihak tertentu yang menganggapnya sebagai mulhid, beliau dibuang ke daerah
Alaisano.
Setelah selesai menjalani tempoh pembuangannya, beliau pulang
semula Kardova. Kehadirannya di Kardova bukan sahaja tidak diterima, tetapi
beliau telah disisihkan oleh orang ramai serta menerima pelbagai penghinaan
daripada masyarakatnya.
Pada lewat penghujung usianya, kedudukan Ibnu Rusyd dipulihkan
semula apabila Khalifah Al-Mansor Al-Muwahhidi menyedari kesilapan yang
dilakukannya. Namun, segala kurniaan dan penghormatan yang diberikan kepadanya
tidak sempat dikecapi kerana beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun
1198.
Kematiannya merupakan kehilangan yang cukup besar kepada kerajaan
dan umat Islam di Sepanyol. Beliau tidak meninggalkan sebarang harta benda
melainkan ilmu dan tulisan dalam pelbagai bidang seperti falsafah, perubatan,
ilmu kalam, falak, fiqh, muzik, kaji bintang, tatabahasa, dan nahu.
Antara karya besar yang pernah dihasilkan oleh Ibnu Rusyd
termasuklah "Kulliyah fit-Thibb" yang mengandungi 16 jilid, mengenai
perubatan secara umum, Mabadil Falsafah (Pengantar Ilmu Falsafah), Tafsir
Urjuza yang membicarakan perubatan dan tauhid, Taslul, buku mengenai ilmu
kalam, Kasyful Adillah, yang mengungkap persoalan falsafah dan agama, Tahafatul
Tahafut, ulasannya terhadap buku Imam Al-Ghazali yang berjudul Tahafatul
Falaisafah, dan Muwafaqatil Hikmah Wal Syari'a yang menyentuh persamaan antara
falsafah dengan agama.
Siri karya tulisan tersebut menunjukkan betapa penguasaan Ibnu
Rusyd dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu begitu ketara sekali sehingga usaha
untuk menterjemahkan tulisan beliau telah dilakukan ke dalam bahasa lain. Buku
"Kulliyah fit-Thibb" telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada
tahun 1255 oleh Bonacosa, orang Yahudi dari Padua.
Kemudian buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan
judul General Rules of Medicine. Hasil pemikiran yang dimuatkan dalam
tulisannya, terutamanya dalam bidang falsafah, telah mempengaruhi ahli falsafah
Barat. Dua orang ahli falsafah Eropah, iaitu Voltaire dan Rousseau dikatakan
bukan sekadar terpengaruh oleh falsafah Ibnu Rusyd, tetapi memperolehi ilham
daripada pembacaan karyanya.
Pemikiran Voltaire dan Rousseau telah mencetuskan era Renaissance
di Perancis sehingga merobah wajah Eropah keseluruhannya sebagaimana yang ada
pada hari ini. Masyarakat Barat sebenarnya terhutang budi kepada Ibnu Rusyd
keranapemikirannya, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, telah
mencetuskan revolusi di benua Eropah.
Pemikirannya memungkinkan masyarakat di sana keluar daripada zaman
kegelapan menuju era kemajuan industri yang pesat. Hospital Les Quinze-Vingt
yang juga merupakan hopital pertama di Paris didirikan oleh Raja Louis IX berdasarkan model hospital Sultan Nuruddin di
Damsyik yang kaedah perubatannya merupakan hasil daripada idea dan pemikiran
Ibnu Rusyd.
No comments:
Post a Comment